Bekas pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Hardi Jaafar baru-baru ini memberikan respon lantang mengenai kuota 15 pemain import yang dibenarkan dalam saingan Liga Super musim 2025-2026.
Bagi Hardi, Liga Malaysia kini sudah dijajah orang luar serta kelab-kelab yang mempunyai sumber kewangan kukuh akan terus kuat manakala bagi kelab-kelab yang kurang dana akan terus bermasalah.
“Saya cakap ni bukan nak populariti atau apa-apa pun, saya nak tanya kepada pihak yang mengendalikan Liga Malaysia ni. Adakah patut atau tidak setiap pasukan memerlukan khidmat pemain import seramai 15 org.
“Kenapa tak letak satu pasukan terus? Ini semua akan menyebabkan pemain tempatan terpaksa menggali kubur sendiri dan menanam diri sendiri.
“Ke mana hilangnya fikiran kamu semua? Kamu sanggup melihat pasukan Perak, Kedah dan Pahang menarik diri daripada liga, sedangkan ketiga-tiga pasukan ini merupakan antara pasukan terbaik dengan rekod mereka.
“Mereka memiliki pemain yang berkaliber dan pasukan yang bagus. Disebabkan satu atau dua pasukan yang gah sekarang bermain untuk Kejohanan ACL (AFC Champions League), kamu sanggup melupakan pasukan yang pernah menaikkan nama Malaysia suatu ketika dahulu?.
“Liga Malaysia sekarang ini sudah dijajah oleh pemain luar. Bagi pasukan yang mempunyai duit, memang bagus untuk kamu semua. Tetapi bagi pasukan yang tidak begitu mempunyai kewangan yang kukuh, memang akan hancur dan merana, bukan?” luah Hardi di laman Facebook.
Luahan hati Hardi di laman Facebook itu menerima pelbagai reaksi di kalangan pengikut bola sepak tempatan. Ada yang bersetuju dan ada juga sebaliknya.
Sebelum ini, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan untuk membenarkan semua pasukan Liga Super mendaftarkan seramai 15 orang pemain import bagi saingan musim 2025-2026.
Jumlah tersebut meningkat berbanding musim lalu yang hanya membenarkan 12 pemain import untuk didaftarkan bagi satu pasukan.