Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba mengharapkan penyokong terus setia bersama pasukan itu menjelang aksi ASEAN Championship 2024 menentang Thailand.
Aksi ketiga Kumpulan A ini menemukan dua musuh tradisi itu buat kali pertama sejak aksi separuh akhir ASEAN Championship 2022.
Malaysia meraih kemenangan aksi separuh akhir pertama menerusi pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim. Thailand kemudiannya bangkit meraih kemenangan 3-0 dalam aksi separuh akhir kedua untuk mara ke final.
Meskipun begitu, ramai penyokong gusar dengan prestasi semasa Harimau Malaya. Ini selepas pasukan itu bergelut melepasi dua aksi awal Kumpulan A.
Selepas diikat 2-2 dengan Kemboja pada 8 Disember lalu, Harimau Malaya dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Timor Leste 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Syamer mengakui penyokong berhak menyuarakan kerisauan mereka tentang prestasi pasukan itu. Atas sebab itu, Harimau Malaya sentiasa berusaha untuk tampil lebih baik dalam setiap aksi.
“Saya fikir sebagai penyokong, mereka berhak menyuarakan apa yang mereka rasa dalam dua aksi (Kumpulan A).
“Kita tahu dalam aksi sebelumnya, kita tidak menunjukkan persembahan yang bagus dan mereka berhak mengatakan mereka hilang harapan.
“Tetapi kita di sini bersama-sama sebagai satu pasukan. Kita bersikap positif dan kita cuba bekerja untuk menjadi lebih baik,” katanya dalam sidang media praperlawanan hari ini.
Pada masa sama, Syamer berharap Ekor Harimau Malaya terus setia memberi sokongan menjelang aksi menentang Thailand.
Ini kerana ASEAN Championship dilihat medan terbaik buat Harimau Malaya untuk pamer aksi cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Dan saya harap penyokong berada di belakang kita kerana ini bukan masa untuk mengkritik atau hilang harapan. Ini kerana kejohanan berlangsung dalam tempoh yang singkat.
“Jadi, saya rasa kita boleh ambil semua nilai positif untuk kita maju ke hadapan, untuk belajar dan jadi lebih baik agar kita dapat mara lebih jauh dalam kejohanan ini,” ujarnya.
Malaysia dan Thailand bakal berentap di Stadium Rajamangala pada 14 Disember ini.