Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon yakin pasukannya tetap perlu melakukan persiapan awal menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu menghadapi kekangan untuk memanggil pemain bagi aksi kali ini selepas liga masih belum bermula.
Beberapa pemain juga masih belum menjalani latihan bersama pasukan masing-masing sekaligus menyukarkan pengendali itu untuk membuat pilihan.
Beliau akhirnya membuat keputusan untuk memanggil beberapa pemain b-23 untuk menyertai kem latihan negara sebagai persediaan.
“Kita faham pasukan-pasukan kelab sedang menjalani latihan pra-musim dan pada masa sama, kalendar Perlawanan Antarabangsa pula hanya akan bermula dari 18 hingga 26 Mac 2024.”
“Walau bagaimanapun, kita tetap perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi dua perlawanan menentang Oman ini.
“Oleh yang demikian, saya memulakan kem latihan pusat pada 8 Mac dengan memanggil sama beberapa pemain dari skuad B-23 kebangsaan.”
Sebahagian pemain akan melapor diri lebih lewat pada 15 Mac susulan baru kekangan yang tidak dapat dielakkan.
“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terlibat, sebahagian pemain hanya akan melapor diri pada 15 Mac kerana saya faham yang mereka baru saja kembali dari bercuti dan baru memulakan latihan bersama kelab, berbanding pemain-pemain lain yang telah lebih awal turun berlatih bersama kelab masing-masing,” ujar ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.
Malaysia akan bertemu Oman sebanyak dua kali bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 21 dan 26 Mac 2024 setelah merekodkan dua kemenengan awal menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei.
Menerusi panggilan terkini, Pan-gon telah menggugurkan 5 pemain senior yang difahamkan tidak cergas sepenuhnya untuk bersama skuad kebangsaan kali ini.