Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon membuat keputusan untuk menggugurkan 5 pemain senior bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Oman.
Harimau Malaya melalui kempen yang amat cemerlang apabila meraih satu mata berharga di pentas Piala Asia AFC 2023 bertemu Korea Selatan.
Pengendali kelahiran Korea Selatan ini berdepan satu lagi tugas sukar apabila perlu membawa skuad kebangsaan menghadapi Oman selepas meraih dua kemenangan menentang Chinese Taipei dan Kyrgyzstan.
Menerusi pengumuman senarai 33 pemain menentang Oman oleh FAM, Pan-gon telah membuat keputusan untuk mengekalkan 21 daripada 26 pemain yang dibawa ke Piala Asia tempoh hari.
5 pemain berpengalaman pula digugurkan sambil beberapa pemain b-23 negara dipanggil bagi menjalani latihan bersama skuad negara.
Antara pemain yang tidak dipanggil ialah Natxo Insa, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Mo Sumareh dan Khuzaimi Piee.
Jurulatih berusia 54 tahun itu memberitahu bahawa terdapat sebab kukuh untuk memanggil beberapa pemain muda untuk turun berlatih bersama pasukan.
“Kita faham pasukan-pasukan kelab sedang menjalani latihan pramusim dan pada masa sama, Kalendar Perlawanan Antarabangsa pula hanya akan bermula dari 18 hingga 26 Mac 2024.”
“Namun begitu, kita tetap perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi dua perlawanan menentang Oman ini dan atas sebab itu saya memulakan kem latihan pusat pada 8 Mac dengan memanggil sama beberapa pemain dari skuad B-23 kebangsaan.”
“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terlibat, sebahagian pemain hanya akan melapor diri pada 15 Mac kerana saya faham yang mereka baru saja kembali dari bercuti dan baru memulakan latihan bersama kelab, berbanding pemain-pemain lain yang telah lebih awal turun berlatih bersama kelab masing-masing,” kata ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.
Harimau Malaya akan menentang Oman pada Khamis, 21 Mac 2024 di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat sebelum terbang pulang bagi perlawanan keempat bertemu juga Oman di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 26 Mac 2024.
Dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Republik Kyrgyz di Taipei pada 21 Mac 2024 sebelum Republik Kyrgyz menanti kunjungan Chinese Taipei di Bishkek pada 26 Mac 2024.