Advertisement
Komen Kim Pan-gon Tentang Pilihan Pemain Lawan Oman
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengulas berkenaan senarai 33 orang pemain yang dipanggil menjalani sesi latihan bersama kem kebangsaan.

Dalam siaran media yang diterbitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, jurulatih berusia 54 tahun itu yakin persediaan awal buat skuad Harimau Malaya amat penting bagi menghadapi dua siri perlawanan bertemu Oman kelak.

“Kita faham pasukan-pasukan kelab sedang menjalani latihan pramusim dan pada masa sama, Kalendar Perlawanan Antarabangsa pula hanya akan bermula dari 18 hingga 26 Mac 2024.”

“Namun, kita tetap perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi dua perlawanan menentang Oman ini dan atas sebab itu saya memulakan kem latihan pusat pada 8 Mac dengan memanggil sama beberapa pemain dari skuad B-23 kebangsaan.”

Tambah Kim Pan-gon, keputusan ini dibuat setelah mencapai kata sepakat bersama kelab-kelab yang terlibat. Para pemain akan mula lapor diri pada 8 Mac dan sebahagian lagi akan melengkapkan skuad pada 15 Mac kelak.

“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terlibat, sebahagian pemain hanya akan melapor diri pada 15 Mac kerana saya faham yang mereka baru saja kembali dari bercuti dan baru memulakan latihan bersama kelab, berbanding pemain-pemain lain yang telah lebih awal turun berlatih bersama kelab masing-masing,” ujar Kim Pan Gon.

Daripada senarai 33 orang pemain kali ini, sembilan daripadanya dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), lapan dari Selangor, lima dari Terengganu, empat dari pasukan Sabah, tiga dari KL City dan seorang pemain daripada daripada Sri Pahang, Penang dan Buriram United.

Dalam perkembangan lain, beberapa pemain yang berusia bawah 23 tahun daripada kem kali ini akan dilepaskan ke kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan kendalian Juan Torres Garrido kelak.

Skuad Harimau Malaya dibawah kendalian Kim Pan-gon akan turun beraksi bagi perlawanan ketiga saingan Kelayakan Piala Dunia Kumpulan D menentang Oman pada Khamis, 21 Mac 2024 di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat.

Selepas itu, Malaysia sekali lagi akan bertemu Oman untuk perlawanan keempat pada 26 Mac 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.