Ramalan awal lagenda Liverpool, David James tentang hasrat Liverpool meledak 4 gol ke atas Manchester United ternyata menjadi kenyataan.
Sebelum ini lagenda Liverpool turun menentang lagenda Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam sebuah perlawanan pertunjukan yang digelar Battle Of The Reds.
Lagenda Liverpool berjaya meraih kemenangan yang diidamkan dengan jaringan 4-2 ke atas United menerusi jaringan hatrik pemain hebat Djibril Cisse dan Florent Sinama. Dimitar Berbatov dan Danny Webber pula mencetak nama selaku penjaring bagi pasukan United.
Kemenangan tersebut ternyata telah diungkapkan lebih awal oleh David James yang merupakan bekas penjaga gol Liverpool dalam sebuah sidang media sebelum bermulanya perlawanan tersebut.
“Mereka (Manchester United) sangat berbahaya tetapi kami akan belasah mereka. Belasah dengan teruk sekali. 4-0. Tidak, ianya 4-1.” gurau David James ketika menjawab soalan pengacara majlis.
Malah beliau turut sempat berseloroh akan menjadi pemain merangkap pengurus bagi Liverpool dalam aksi tersebut setelah meramal kemenangan menjadi milik Liverpool.
“Secara serius kemenangan sebenar adalah bola sepak. Kami bersyukur dapat hadir ke sini dan saya rasa begitu juga dengan apa yang pemain Manchester United rasa. Saya suka datang ke Malaysia.”
“Kita tahu ramai penyokong Liverpool dan penyokong Manchester United di Malaysia jadi apabila dapat bermain di sini, kami mahu berikan yang terbaik untuk para penyokong.” ujar David James lagi.
Aksi Battle Of The Reds menerima sambutan yang meriah di Malaysia dimana aksi tersebut turut diserikan oleh ramai lagi pemain lagenda Liverpool seperti Emile Heskey, Glen Johnson, John Arne Riise, Patrik Berger, Vladimir Smicer, Steve McManaman, Jason McAteer, Florent Sinama, John Durnin, David Thompson, Jermaine Pennant, Djibril Cisse, Phil Babb dan juga Luis Garcia.
Lagenda Manchester United yang hadir ke Malaysia pula ialah David May, Wes Brown, Clayton Blackmore, Keith Gillespie, Ben Thornley, Eric Djemba Djemba, Paul Rachubka, Russell Beardsmore, Lee Martin, Danny Webber, Mikael Silvestre, Quinton Fortune, Dimitar Berbatov, Erik Nevland, Dion Dublin dan Teddy Sheringham.