Banyak pihak tidak menyangka bahawa pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) mudah menundukkan pasukan Terengganu dengan keputusan 3-0.
Lebih mengejutkan lagi adalah penyerang PJ City, Darren Lok menunjukkan aksi mengagumkan selepas berjaya menyumbat hatrik dalam perlawanan tersebut.
Prestasi semasa Darren Lok ini pastinya akan menambahkan lagi peratusan untuk dipilih oleh pengendali skaud negara, Kim Pan-gon yang akan mengharungi Kelayakan Piala Asia Jun nanti.
Dalam perlawanan menentang Terengganu malam tadi, Darren Lok membuka akaun jaringan seawal minit ke-13 selepas mendapat hantaran leret dari Kumaahran.
Darren Lok tidak menunggu lama untuk jaringan keduanya apabila hanya berselang 15 minit, Darren sekali lagi meledak selepas menyudahkan hantaran lintang K. Kannan.
Hatrik Darren dilengkapkan pada minit ke-39 selepas menyudahkan hantaran lintang menarik dari pemain berpengalaman, Mahalli Jasuli.
Kelibat Darren boleh dirumuskan sebagai seorang yang merbahaya apabila berada di dalam kotak penalti dan beliau juga berada pada masa dan tempat yang tepat untuk menjaringkan gol. Naluri seorang penyerang ternyata dimiliki beliau.
Untuk rekod, kali terakhir Darren menyarung jersi negara adalah pada Kelayakan Piala Asia pada tahun 2017. Beliau diturunkan ketika aksi bertemu Hong Kong yang ketika itu dilatih oleh Kim Pan-gon. Sehingga kini, Darren sudah mengumpul 9 penampilan bersama Harimau Malaya dan menjaringkan satu gol.
Baru-baru ini, Kim Pan-gon telah menyenaraikan Darren untuk dibawa ke siri perlawanan persahabatan di Singapura namun khidmatnya terpaksa dilupakan gara-gara positif virus covid-19. Diharapkan Darren Lok terus konsisten untuk terus berada dalam pemerhatian Pan-gon dan membarisi skuad Harimau Malaya kelak.