Penjaga gol Kuching City FC, Haziq Nadzli melafazkan rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana membantu pasukan itu meraih tiga mata penuh.
Selepas berjaya mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia, The Cats meneruskan momentum dengan menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam aksi terbaru Liga Super.
Gabriel Nistelrooy dan Ronald Ngah Wanja masing-masing mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut.
Aksi ini turut menyaksikan Haziq yang juga penjaga gol kebangsaan kekal tanpa bolos buat kali kelapan dalam liga musim ini.
Atas sebab itu, apabila ditanya tentang perasaannya selepas membantu Kuching City meraih kemenangan, beliau hanya menjawab, “Alhamdulillah.”
Keputusan ini menyaksikan The Cats memintas Selangor FC di tangga kedua liga. Meskipun berkongsi 31 mata, kelab itu memiliki kelebihan jaringan berbanding The Red Giants.
Selangor berpeluang merampas semula kedudukan itu seandainya berjaya menewaskan Terengganu FC dalam aksi liga pada Ahad.