Ketua jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memberi bayangan bahawa pemain import baharu pasukan, Jordi Amat berkemungkinan akan terlepas peluang untuk melakukan debut di pentas ACL.
Bekas jurulatih Newell Old Boys ini juga dalam satu kenyataan menegaskan, beliau mungkin akan melakukan rombakan dalam kesebelasan utama pasukan ketika berdepan juara dua kali Asia ini.
Bidoglio memaklumkan bahawa terdapat pemain utama pasukan yang kini dilanda kecederaan selain kepulangan jeneral tengah pasukan, Natxo Insa yang sudah lama terlepas peluang beraksi bersama pasukan.
“Leandro Velazquez digantung untuk perlawanan ini dan kami perlu melakukan beberapa perubahan di bahagian tengah.”
“Natxo Insa telah kembali berlatih tetapi sudah tidak bermain hampir sebulan,” jelasnya.
Ketika mengulas mengenai pemain import kelas Eropah, Jordi Amat, beliau masih tidak pasti akan dapat diturunkan selepas beliau difahamkan masih dalam usaha untuk mendapat tahap permainan terbaik.
“Jordi Amat pula sedang meningkatkan kecergasan ketika ini.”
JDT sudah tentu mahu membariskan kesebelasan terbaik dalam memastikan mereka mampu menghadirkan cabaran kepada gergasi Jepun di gelanggang mereka.