Advertisements
Hoki 5S Piala Dunia: Malaysia Belasah Oman 10-0
UltraSukan
UltraSukan
MHC

Skuad hoki 5S wanita Malaysia memulakan kempen Kumpulan A Piala Dunia Hoki 5S dengan langkah kanan hari ini.

Ini selepas skuad negara berjaya membelasah skuad wanita Oman 10-0 dalam aksi pertama kumpulan.

Ini pertemuan pertama bagi kedua-dua pasukan dalam aksi Piala Dunia Hoki 5S 2024 dengan Oman merupakan tuan rumah kejohanan. Dan Malaysia bermula garang pada babak pertama.

Zati Alyani Muhamad Zubir menyumbat jaringan pertama menerusi gol sudut pada minit ke-10. Oman makin tersentak apabila dibolosi buat kali kedua dalam minit sama.

Penyerang The Malayan Tigress, Nur Zafirah Aziz memastikan Malaysia makin selesa mendahului 4-0 sehingga rehat dengan dua jaringan masing-masing pada minit ke-11 dan ke-12.

Selepas rehat, skuad negara makin selesa di hadapan menerusi Qhairunnisya Mohd Zanili pada minit ke-17.

Zati mencipta hatrik dengan menyumbat gol padang pada minit ke-21. Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri menambah derita tuan rumah dengan gol ketujuh pada minit ke-22.

Zati meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan gol keempat peribadi pada minit ke-26.

Zafirah turut melakar hatrik dengan menolak bola melepasi jangkauan penjaga gol Oman, Tamathir Al-Balushi pada minit ke-27.

Qhairunnisya memastikan kedudukan negara semakin sukar dicabar Oman dengan gol ke-10 pada minit ke-30. Keputusan 10-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan 10-0 memastikan Malaysia menerajui Kumpulan A dengan tiga mata. Sementara Oman di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Malaysia bakal berdepan Belanda untuk aksi kedua kumpulan yang berlangsung pada jam 8.30 malam ini.