Kemenangan yang dicari skuad hoki B-21 Malaysia akhirnya muncul dalam aksi penentuan tempat ketujuh/kelapan Piala Sultan Johor 2023.
Malaysia menamatkan kempen edisi 2023 dengan menewaskan Afrika Selatan 3-2 di Stadium Hoki Taman Daya.
The Young Tigers melihat perlawanan hari ini sebagai peluang terakhir meraih kemenangan dalam Piala Sultan Johor 2023 selepas tewas 7-4 kepada Great Britain semalam.
Begitupun, penyakit lambat panas sekali lagi mengakibatkan skuad negara ketinggalan pada minit ke-10 menerusi Viwe Mbata.
The Young Tigers bangkit menyamakan kedudukan menerusi Che Nur Aqilrullah dua minit selepas itu. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Malaysia mula mendahului menerusi Harris Iskandar Osman pada minit ke-39.
Bagaimanapun, Afrika Selatan kembali menyamakan kedudukan menerusi gol padang Cameron Le Forestier pada minit ke-49.
Gol kemenangan pada minit ke-56 menerusi pukulan padang Mughni Kamal memastikan Malaysia meraih tempat ketujuh kali ini.
Pendedahan pengalaman yang diraih dalam Piala Sultan Johor 2023 bakal membantu jurulatih, Muhamad Amin Rahim untuk membentuk pasukan lebih mantap ke Piala Dunia Remaja 2023.
Piala Dunia Remaja 2023 bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 5 hingga 16 Disember ini.