Selepas menunjukkan prestasi baik dalam tempoh pinjaman semusim di Wolverhampton Wanderers, akhirnya penyerang Korea Selatan Hwang Hee-chan berpindah secara tetap ke Molineux. Ini selepas kelab mengaktifkan klausa perpindahan yang disertakan dalam kontrak pinjaman dengan kelab lamanya, RB Leipzig.
Ia dijangka berkuatkuasa pada 1 Julai 2022. Penyerang itu bersetuju memeterai kontrak empat tahun bersama Wolves. Dalam enam penampilannya bersama kelab, Hee-chan telah menyumbat empat gol. Ini menjadikan beliau berkongsi kedudukan penjaring terbanyak kelab dengan penyerang Mexico Raul Jimenez.
Selepas perpindahannya diumumkan oleh Wolves, Hee-chan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pengurus Bruno Lage dan rakan-rakan sepasukan kerana membantunya beradaptasi dalam EPL. Disebabkan pertolongan semua pihak, ini membantunya menunjukkan prestasi baik di atas padang.
Hee-chan ketika ini masih dibelenggu kecederaan hamstring sejak sebulan lepas. Akibat kecederaan tersebut, khidmatnya tidak dapat digunakan oleh pengurus Korea Selatan Paulo Bento untuk baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022 peringkat Asia. Keadaan ini memaksa pengurus Portugal itu menggunakan khidmat penyerang Bordeaux, Hwang Ui-jo sebagai penggantinya.
Hee-chan berharap dapat kembali berlatih bersama pasukan selepas pulih daripada kecederaan. Beliau berharap itu dapat menjadi batu asas bukan saja menjaringkan gol untuk Wolves. Malah, Hee-chan berharap ia dapat membantu kelab mencapai sasaran dalam EPL musim ini.