Advertisements
Idea Hebat TMJ Bina Akademi JDT Kukuhkan Revolusi Bola Sepak Malaysia
Inspirasi
MakanBola
Johor Southern Tigers

Idea hebat pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membangunkan Akademi Bolasepak JDT terus menerima pujian masyarakat.

Perkara itu disuarakan bapa kepada salah seorang pelatih di Akademi JDT, Mohd Azlan Mohd Nor dalam satu temu bual bersama Media Digital Johor.

Beliau menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada TMJ kerana telah menyediakan fasiliti yang lengkap di Akademi JDT baik dari segi akademik mahupun kokurikulum.

“Di Akademi JDT ini, dari segi akademiknya memang terjaga dengan rapi. Ada kelas Fardu Ain disediakan, memang sangat-sangat terjaga sama dengan budak-budak sekolah biasa yang lain.”

“Kalau ada subjek yang mereka kurang mahir, akan ada kelas tambahan untuk pastikan mereka lulus. Penekanan juga diberi kepada subjek Bahasa Inggeris kerana kita tahu rata-rata jurulatih adalah dari luar negara.”

Bapa kepada Hilmi Farish ini juga yakin peluang dan masa depan anaknya cerah apabila berada di bawah program Akademi JDT. Akademik pelatih-pelatih ini sentiasa terjamin bukan sahaja di peringkat sekolah namun di peringkat pengajian tinggi kelak.

“Bukan senang nak masuk, tapi bila dah masuk masa depan mereka akan terjamin. DYAM Tunku Ismail juga tekankan akademik. Sebagai contoh adanya kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menyambung pelajaran di peringkat Diploma Sains Sukan.“

“Baginda Tunku Ismail adalah satu-satunya individu yang fokus membangunkan bola sepak khususnya melalui pembangunan akademi seperti ini,” ujar Mohd Azlan ketika ditemui Media Digital Johor.

JDT dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini sedang dalam peringkat akhir perbincangan lanjut bagi lepasan pelatih di Akademi JDT ini untuk diserap ke Program Diploma Sains Sukan & Kecergasan di UTM

Program tersebut bakal menawarkan pilihan kepada pelatih Akademi JDT untuk meneruskan pengajian sambil mengejar impian menjadi pemain bola sepak.

Selepas tamat ikuti program Diploma, pelatih Akademi JDT juga diberi pilihan untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Ijazah Sarjana Muda.

Untuk rekod, Akademi Kelab Bolasepak JDT merupakan satu-satunya kelab bola sepak di Malaysia yang dianugerahkan status Akademi Dua Bintang (Two-Star Academy) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bawah AFC Elite Youth Scheme.