Ifedayo Olusegun: Selangor ‘The Real King’ Di Malaysia
Blog
Advertisements

Pendahulu carta penjaring terbanyak Liga Super 2021, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi sudah meledak 16 gol sepanjang 16 perlawanan musim ini. Dalam satu temubual bersama Stadium Astro, beliau dengan penuh keyakinan menyatakan bahawa kelab yang diwakilinya, Selangor FC adalah kelab terbesar yang berada di Malaysia.

Penyerang kelahiran Nigeria itu ternyata amat gembira dengan prestasi semasa yang sedang ditampilkan olehnya sambil merasakan bahawa rakan-rakan juga turut bermain dengan baik untuk menjayakan setiap perlawanan Selangor. Pasukan ‘The Red Giant’ ketika ini menghuni tangga ke-5 liga dengan mengumpul 23 mata. Ia sekaligus menjadikan perbezaan 16 mata daripada kedudukan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain berusia 30 tahun itu menjelaskan bahawa ia satu penghargaan untuk bermain buat pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu sambil menceritakan tentang impiannya ketika pertama kali datang ke Malaysia adalah untuk bermain buat Selangor.

Advertisements

“Perkara pertama yang datang dalam fikiran saya ketika ditawarkan bermain di Malaysia adalah untuk melihat kelab terbesar di sana. Setelah saya melihatnya, saya pasti Selangor ialah kelab terbesar di Malaysia.”

“Saya lihat segala pencapaian dan sudah semestinya bilangan trofi sangat penting. Selangor memenangi trofi terbanyak di Malaysia dan sudah semestinya Selangor adalah kelab terbesar.”

Tambahnya lagi, rasa yang sama hadir ketika beliau menyarung jersi pasukan terdahulunya iaitu Felda United dan Melaka United FC. Beliau sentiasa mempunyai perasaan bahawa menentang pasukan ini merupakan satu penghargaan dan Selangor sentiasa menjadi perlawanan terbesar untuk ditentang di liga ini.

Advertisements

Selain itu, beliau amat berterima kasih kepada bekas jurulatih Selangor, B. Sathianathan yang merealisasikan perpindahannya ke pasukan gergasi Merah Kuning itu sambil menyatakan bahawa hubungan yang telah terbina sejak di Felda United memudahkan segala urusan berlaku.

“Ketika tawaran untuk bermain buat Selangor sampai, saya tidak berfikir panjang, saya terus menandatanganinya. Saya pastinya sangat teruja.”

Beliau sedar bahawa bermain buat Selangor bukanlah satu perkara yang mudah namun sangat bersyukur perjalanannya di sana berjalan dengan lancar sejak hari pertama beliau tiba di sana.

Advertisements

“Saya sedar bermain untuk Selangor tidak mudah. Tekanan, jangkaan dan harapan penonton amat tinggi. Seperti bermain di Man City, seri dianggap gagal, bermain di Real Madrid juga, menduduki tangga ke-2 dianggap musim yang buruk.”

Sementara itu, pemain berketinggian 180 cm ini tidak menafikan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang bermain dengan sangat cemerlang sejak 5-6 musim kebelakangan ini namun beliau menilai secara keseluruhan bahawa Selangor masih menjadi kelab terbesar dan berbangga dapat beraksi buat pasukan tersebut.

Kini, Selangor berdepan cabaran getir untuk menghabiskan saingan musim ini pada kedudukan terbaik sambil mengharapkan Ifedayo terus mempamerkan sentuhan ampuhnya dalam usaha merapatkan saingan dengan pencabar terdekat seperti Terengganu, Kedah Darul Aman dan juga Penang FC.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram