Kapten Bali United, Ilija Spasojevic teringin melihat pasukan dari negeri Melaka kembali beraksi di Liga Super.
Nama penyerang Indonesia itu bukanlah asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Ini kerana Spasojevic pernah beraksi bersama Melaka United FC selama 18 bulan. Tempoh tersebut menyaksikan Melaka United muncul juara Liga Perdana pada musim 2016.
Jasanya sebagai penjaring terbanyak Melaka United dengan 24 gol pada musim tersebut turut diiktiraf negeri Melaka.
Spasojevic menjadi pemain import pertama pasukan itu yang menerima pingat Bintang Cemerlang Melaka daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaacob.
Biarpun nama Melaka United sudah berkubur, Spasojevic berharap ada wakil Melaka yang dapat membawa nama negeri itu ke Liga Super.
“Sedih sedikit kerana Melaka United tidak lagi berada di divisyen utama (Liga Super). Tapi harapnya nanti ada pasukan Melaka yang lebih kuat (muncul nanti),” katanya dalam sidang media pra-perlawanan Terengganu FC-Bali United semalam yang disiarkan Astro Arena.
Melaka United tidak lagi wujud selepas gagal meraih lesen kebangsaan 2023 susulan masalah kewangan yang membelenggu pasukan itu. Ini mengakibatkan pasukan itu tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Super.
Kini, penerus perjuangan bola sepak negeri Melaka diteruskan oleh Melaka FC. Melaka FC beraksi dalam saingan Liga M3 musim ini.