Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner gembira dengan impak yang ditunjukkan kapten pasukan itu, Safawi Rasid.
Aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024 menyaksikan skuad Penyu berdepan cabaran Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 14 Julai lalu.
Safawi menceriakan 31,689 orang penyokong di SSMZA dengan meledakkan sepakan percuma yang menembusi gawang Merah Kuning pada minit ke-30.
Gol tersebut membuka jalan kepada skuad Penyu menyumbat dua lagi gol menerusi Nurillo Tukhtasinov dan Ismaheel Akinade. Sementara Selangor membalas menerusi Alvin Fortes dan Noor Al-Rawabdeh.
Steinbruckner gembira dengan impak pemain sayap berusia 27 tahun itu terutama gol yang dijaringkannya dalam perlawanan itu.
Jurulatih Croatia itu percaya Safawi semakin menghampiri prestasi terbaik pada musim ini selepas lama tidak beraksi di atas padang.
“Saya ada lihat semasa beliau (Safawi) membuat sepakan dan saya lihat bola sudah masuk ke dalam (gawang). Gol yang cantik dan hadir pada masa yang tepat.
“Saya gembira beliau semakin menunjukkan kemajuan. Sebelum ini, beliau menjaringkan beberapa penalti dalam dua perlawanan. Saya tahu beliau boleh jadi lebih bagus dan memberi lebih banyak sumbangan kepada bola sepak Malaysia,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan yang disiarkan TFC TV.
Terengganu membawa kelebihan agregat 3-2 untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium MBPJ pada 3 Ogos ini.