Advertisement
“Impian Emas Los Angeles Bermula Sekarang” – Hamidin
UltraSukan
UltraSukan
Olympic Malaysia

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan usaha memburu pingat emas Olimpik seterusnya perlu bermula dari sekarang.

Temasya Olimpik 2024 di Paris, Perancis menyaksikan kontinjen negara membawa pulang dua pingat gangsa menerusi acara badminton.

Juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa pertama selepas menewaskan regu Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen.

Sementara juara Australian Open 2024, Lee Zii Jia meraih pingat gangsa kedua dengan menewaskan jaguh India, Lakshya Sen.

Dengan temasya Olimpik seterusnya bakal berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028, Hamidin menyifatkan pemburuan pingat emas perlu bermula dari sekarang.

Ini kerana ini akan meningkatkan peluang Malaysia untuk memburu pingat emas pertama di temasya berkenaan.

“Ini perlu diteruskan dari segi persiapan. Hanya impian kita bahawa kita kena berusaha dari sekarang. Berakhirnya hari ini di Paris, kita perlu membuat persiapan bermula hari ini sebelum ke LA (Los Angeles) 2028,” katanya dalam sidang media yang disiarkan di Nadi Arena.

Temasya Olimpik 2028 bakal menyaksikan lebih ramai atlet menjadi sandaran pingat negara terutama dalam sukan skuasy.