Hasrat Indonesia untuk membalas dendam terhadap Libya tidak menjadi kenyataan apabila sekali lagi tewas dalam aksi persahabatan sebentar tadi.
Indonesia yang menurunkan barisan terkuat berjaya di hadapan seawal minit ke-6 perlawanan melalui penyudah Yakob Sayuri yang menyudahkan hantaran Ivan Jenner.
Tersentak dengan jaringan itu, Libya menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan. Kegembiraan Indonesia hanya bertahan 3 minit apabila pada minit ke-9, Osama Mukthar Al Shremi berjaya menyamakan kedudukan buat Libya hasil rembatan jarak dekat.
Indonesia dilihat lebih selesa mengawal permainan dengan variasi hantaran pendek. Manakala Libya dilihat lebih banyak menunggu untuk melancarkan serangan balas.
Libya akhirnya berjaya di hadapan buat kali pertama dalam perlawanan ini hasil jaringan Ahmed Ekrawa selepas pemain tersebut memanfaatkan kesilapan Rizky Ridho yang tersilap membuat hantaran ke belakang. Keputusan berubah menjadi 2-1 memihak Libya.
Biarpun Indonesia terus mengasak namun kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Indonesia mula membawa masuk pemain-pemain baharu dalam usaha menyamakan kedudukan.
Libya hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-51 melalui percubaan Ahmed Ekrawa namun berjaya diselamatkan penjaga gol Indonesia, Ernando Ari.
Perlawanan dilihat lebih seimbang selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar penguasaan bola.
Indonesia mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-86 namun percubaan Justin Hubner dari dalam kotak penalti telah diselamatkan penjaga gol Libya.
Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menghadiahkan kekalahan kedua buat Indonesia dalam tempoh empat hari kepada Libya.
Indonesia bakal bertemu Iran dalam aksi persahabatan terakhir pada 9 Januari ini sebelum bermulanya saingan Piala Asia 2023 Qatar.