Advertisement
Indonesia Jadi Pasukan Terawal Turun Latihan Demi Piala Asia
Asia
MakanBola
PSSI

Indonesia dilihat benar-benar serius untuk mencipta kejutan dalam kempen Piala Asia 2023 Qatar bulan hadapan apabila salah satu pasukan terawal yang memulakan latihan.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Asean Football dalam satu hantaran di laman X yang menyaksikan beberapa foto pemain Indonesia yang sedang menjalani latihan turut dimuat naik.

Seramai 29 pemain yang dipilih jurulatih, Shin Tae-yong telah berada di Turkiye untuk menjalani latihan di sana yang turut menyaksikan tiga perlawanan ujian juga sudah pun diatur.

Indonesia dijadualkan menentang Libya dalam dua aksi ujian pada 2 dan 5 Januari 2024 sebelum menentang Iran pada 9 Januari 2024.

Daripada 29 pemain yang dipanggil ke Turkiye, hanya 26 pemain sahaja yang akan dibawa ke Qatar bulan hadapan.

Indonesia telah ditelakkan dalam Kumpulan D di Piala Asia 2023 bersama-sama tiga lagi pasukan yang lebih tinggi kedudukan ranking mereka iaitu Jepun, Iraq dan juga Vietnam.

Dengan meletakkan sasaran mara ke pusingan 16 terakhir di Piala Asia, sememangnya persiapan lebih rapi sangat diperlukan oleh Shin Tae-yong untuk menterjemahkan sasaran tersebut menjadi realiti.

Tidak mustahil untuk sasaran itu dicapai jika melihat semangat luar biasa para pemain serta persiapan lebih awal diatur berbanding pasukan-pasukan lain.