Nama rantau Asia Tenggara kembali menjadi sebutan dalam dunia e-sukan apabila Indonesia muncul juara FIFAe World Cup 2024 Football Manager.
Ichsan Rahmat Taufiq selaku pengurus dan Budi Muhamad Manar Hidayat sebagai penolong pengurus membantu Indonesia mengatasi Jerman di pentas final.
Indonesia mendahului dengan meraih kemenangan 3-0. Ini disusuli satu lagi kemenangan 5-2 sekaligus membolehkan mereka muncul juara dengan keputusan agregat 8-2.
Terdahulu, Indonesia mencipta kejutan dengan menyingkirkan England di peringkat separuh akhir. Mereka meraih kemenangan dengan keputusan agregat 5-3.
Bila ditanya tentang rahsia kejayaan mereka, Budi memaklumkan kuncinya ialah bermain secara menyerang dan bijak memilih taktik merantai pihak lawan.
“Kami bermain secara menyerang, perkara paling penting ialah arahan (pemain) untuk pihak lawan. Jadi, kami akan kawal setiap pemain yang merbahaya dan membuat terjahan ke atas mereka,” katanya seperti yang dilaporkan portal Tempo.
Ini gelaran juara dunia kedua yang diraih Indonesia dalam arena e-sukan. Tahun 2023 menyaksikan Indonesia menerusi ONIC Esports muncul juara Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) di Kemboja.
Terdahulu, nama rantau Asia Tenggara menjadi sebutan apabila wakil Malaysia, Selangor Red Giants (SRG) muncul juara dunia MSC MLBB 2024 pada Julai lalu.