Peluang Malaysia untuk layak ke separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN masih lagi terbuka meskipun akur tumpas kepada Vietnam dalam aksi pembukaan pada Isnin.
Malaysia membuka saingan Kejuaraan B-17 ASEAN di Jawa Timur, Indonesia dengan langkah kiri apabila tumpas 0-4 di tangan Vietnam dalam perlawanan pembukaan kumpulan A.
Dua jaringan Le Sy Bach dan satu gol daripada Nguyen Manh Cuong serta Nguyen Van Duong memberikan kekalahan yang perit buat pasukan muda negara bimbingan Shukor Adan ini.
Kekalahan pada sebelah petang ini meletakkan Vietnam gah di kedudukan teratas kumpulan A dengan 3 mata sementara Malaysia pula memulakan aksi tanpa kutipan mata di tangga ke-3.
Kedudukan ini mengalami perubahan pada sebelah malam apabila tuan rumah, Indonesia turut mencatat kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste dan memintas tempat Vietnam di hari pertama.
Indonesia kini memimpin kumpulan dengan 3 mata walaupun memiliki rekod beza jaringan sama seperti Vietnam manakala Malaysia pula berada di tempat ketiga, diikuti Timor Leste di kedudukan tercorot.
Perlawanan kedua kumpulan A akan menemukan Malaysia vs Indonesia pada Khamis, 16 April pada jam 8.30 malam tatkala Vietnam menentang Timor Leste pada sebelah petang di hari yang sama.