Aksi persahabatan antarabangsa antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang pasukan dari Liga Bulgaria, Levski Sofia berakhir dengan keputusan 1-0 memihak JDT. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Jebel Ali itu bagaimanapun hanya berlangsung setakat 54 minit permainan.
Ekoran daripada keadaan yang tidak terkawal melibatkan beberapa insiden di dalam padang, pengadil perlawanan memutuskan untuk perlawanan ditamatkan setelah para pemain Levski Sofia bertindak untuk memboikot perlawanan.
Sikap tidak professional beberapa pemain Levski Sofia menjadi antara faktor perlawanan tersebut dihentikan. Setelah ketinggalan 1-0 menerusi jaringan Juan Muniz, para pemain Levski menunjukkan sikap tak puas hati dengan bertindak kasar sehingga menimbulkan kemarahan pemain JDT.
Dalam satu potongan video yang tular di media sosial, rakaman tersebut jelas menunjukkan beberapa kekasaran keras yang dilakukan pemain Levski Sofia terhadap JDT.
Pemain tengah JDT, Leandro Velazquez menjadi antara mangsa pemain lawan apabila beliau diludah dan disepak oleh pemain berjersi nombor 30 pasukan Levski Sofia.
Beberapa kekasaran yang dilakukan pemain Levski Sofia juga seolah tidak diendahkan pengadil apabila mereka tidak dilayangkan kad kuning walaupun melakukan terjahan keras.
Pengadil perlawanan dari Serbia jelas telah gagal untuk mengawal perlawanan malam semalam. Persembahan mantap yang ditampilkan skuad kendalian Esteban Solari pastinya dicemburui pasukan dari eropah itu.
JDT bakal meneruskan baki aksi persahabatan antarabangsa di Dubai berdepan dua pasukan iaitu Lokomotiv Moscow pada 2 Februari dan FC Zenit pada 6 Februari kelak.