Advertisement
“Ini Peluang Terbaik Malaysia” – Kim Pan-gon
Harimau Malaya
MakanBola
Azri / MakanBola

Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon menyifatkan undian kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sebagai satu kesempatan terbaik buat pasukan negara layak ke Piala Asia 2027.

Undian kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 hari ini menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama Kyrgyzstan, Oman dan Timor Leste/Taiwan.

Jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan kelayakan lain, undian yang diterima Harimau Malaya tampak lebih bagus. Justeru, Pan-gon melihat ini sebagai peluang terbaik untuk melakukannya.

“Ya, Pot 1 dan Pot 2 mempunyai semua pasukan yang kuat. Secara umumnya, saya gembira kerana kita tidak masuk dalam kumpulan-kumpulan yang sukar.

“Jadi, satu cabaran yang bagus untuk kami. Satu motivasi yang bagus buat kami dan kami akan beri cabaran yang terbaik untuk pasukan Malaysia,” kata Pan-gon bila ditemui media hari ini.

Walaupun mengakui cabaran Kumpulan D lebih menyebelahi Malaysia, jurulatih dari Korea Selatan itu tidak melihatnya sebagai satu kelebihan mudah.

Atas sebab itu, Pan-gon mahu anak-anak buahnya tidak memandang rendah cabaran semua lawan mereka bila aksi kelayakan bermula nanti.

“Kita tak boleh kata itu mudah, kita katakan ia lebih bagus. Di pihak kita, dengan persediaan yang bagus, prestasi mantap dan strategi yang bagus daripada pihak kejurulatihan, ini boleh dilakukan di peringkat ini.

“Peringkat ini merupakan peringkat paling sukar, paling mencabar kepada kita. Kita akan mencuba yang terbaik, memanfaatkan jadual perlawanan kita dan buat persiapan terbaik, Malaysia ada peluang,” tambahnya.