Satu insiden telah berlaku ketika perlawanan Liga Super di antara Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Perak FC pada Jumaat yang mana menyaksikan insiden tersebut telah tular di laman komedi bola sepak popular.
Insiden tersebut berlaku pada minit ke-33 perlawanan ketika pemain sayap KDN FC, Fazrul Amir cuba mengejar bola yang hampir sahaja keluar daripada permainan namun dihalang oleh penjaga garisan yang bertugas.
Halangan tersebut membuatkan Fazrul Amir tidak berjaya menyelamatkan bola daripada keluar dan lontaran ke dalam diberikan kepada pasukan Perak.
Video berdurasi 38 saat itu telah dikongsikan oleh laman komedi bola sepak popular dunia, Troll Football Media dan ianya telah meraih lebih 319 ribu tontonan setakat ini.
“Penjaga garisan telah beri cabaran bahu ke bahu. Ianya bukan kesalahan,” coret Troll Football Media.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan buat Perak yang berjaya menewaskan tuan rumah, KDN FC dengan keputusan 3-1.
Kekalahan itu menyaksikan KDN FC kini berada di tangga ke-12 daripada 13 pasukan yang bertanding dan aksi seterusnya buat pasukan itu adalah dengan menentang Penang FC pada 1 Ogos depan.