Kelantan Darul Naim merekodkan kekalahan kelima Liga Super musim ini setelah tewas dengan jaringan 3-1 kepada Perak.
Hujan lebat membasahi gelanggang keramat Kijang Emas di Stadium Sultan Muhammad IV sehingga perlawanan terpaksa ditunda selama hampir satu jam.
Park Jaehong memberikan kepercayaan kepada Khatul Anuar untuk menjaga gawang gol Kelantan Darul Naim bersama-sama barisan pemain lain seperti Oday Kharoub, Valdumar, Fazrul Amir dan Jerabek.
Gandingan Shivan Pillay dan Sunday Afolabi pula menjadi taruhan Yusri Che Lah di bahagian pertahanan tengah pasukan manakala Clayton Da Silva menggalas peranan penyerang utama pasukan Perak.
Aksi babak pertama hampir berkesudahan tanpa sebarang jaringan dari kedua-dua pasukan tetapi Firdaus Saiyadi berjaya memanfaatkan kerapuhan benteng pertahanan Kelantan untuk gol pertama Perak.
Jaringan pada minit ke-43 meletakkan Perak 1-0 dihadapan pasukan tuan rumah sehingga tamat wisel aksi babak pertama.
Perak menggandakan kedudukan menerusi jaringan sepakan penalti oleh Luciano Guaycochea pada minit ke-57 sekaligus menambah tekanan untuk pasukan Kelantan Darul Naim.
Anak buah Park Jaehong cuba mencari gol pertama pasukan untuk bangkit tetapi Luciano Guaycochea pantas melengkapkan malam gemilang Perak menerusi gol ketiga pada minit ke-80.
Syahir Abdul Rashid akhirnya berjaya membolosi pintu gol Perak untuk gol pertama Kelantan DN pada minit ke-87 namun Kelantan terpaksa akur tewas dalam perlawanan ini.
Perak menundukkan cabaran Kelantan Darul Naim dengan keputusan 3-1 untuk meraih 3 mata berharga dalam saingan Liga Super.
Kelantan DN seterusnya akan bertemu sebuah lagi pasukan dari Utara iaitu Penang manakala Perak akan bertemu Kuching City pada 30 Julai ini.
Perak berada di tangga ke-9 liga dengan 6 mata dari 6 perlawanan manakala Kelantan DN kekal di kedudukan 12 liga dengan mengumpul 3 mata.