Tular di media sosial insiden pergaduhan antara pemain muda Sri Pahang dan pemain Melaka sehinggakan pemain Sri Pahang telah menendang pemain lawan.
Kejadian itu berlaku ketika berlangsungnya perlawanan Sri Pahang menentang Melaka dalam kejohanan Piala Belia 2024 di Stadium Hang Tuah.
Berlaku pergaduhan mulut antara pemain Sri Pahang dan Melaka sebelum tercetusnya aksi tolak-menolak yang membawa kepada adegan tendang-menendang dalam sebuah video yang berdurasi 44 saat.
Pemain simpanan Sri Pahang, Adam Syaqir Barzu telah dilayangkan kad merah pada minit ke-41 kerana menendang pemain Melaka dalam insiden pergaduhan tersebut.
Malah para penonton yang hadir ke stadium tersebut turut kelihatan tidak senang dan menyelar insiden pergaduhan itu.
Skuad bawah 18 tahun Sri Pahang berjaya menewaskan Melaka dalam perlawanan tersebut dengan jaringan 2-1.
Kemenangan itu merupakan kemenangan pertama pasukan muda Sri Pahang setelah mengharungi tiga aksi Piala Belia 2024.
Insiden pergaduhan tersebut tidak seharusnya berlaku dalam sukan bola sepak yang sepatutnya memupuk kerjasama dan membina semangat kesukanan dalam diri pemain bola sepak.