Biarpun tidak tidur selama 24 jam dan kehilangan telefon pintar sebaik tiba di Amerika Syarikat, itu bukan penghalang buat penyerang skuad wanita negara, Intan Serah Anisah Zulgafli. Malah, awal pagi ini, beliau berjaya membuat kemunculan pertama bersama kelabnya, New York Dutch Lions (NYDL) FC.
Perkara ini dikongsikan Intan dalam satu hantaran di akaun Instagram peribadinya hari ini. Malah, ia turut dikongsikan oleh pentadbir akaun Twitter Harimau Abroad.
🇺🇸 Intan Serah made her New York Dutch Lions FC debut by coming off the bench against SUSA FC. She played for 10 minutes as the game finished in a draw. pic.twitter.com/QSuC84zBwc
— Harimau Abroad🐯🇲🇾✈️ (@harimau_abroad) June 15, 2023
Intan tampil dalam 10 minit terakhir sebagai pemain gantian NYDL FC semasa menentang SUSA awal pagi ini. Biarpun kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada akhir perlawanan, ia satu kepuasan buat dirinya kerana berjaya membuat kemunculan pertama bersama kelab barunya itu.
“Kemunculan pertama dengan NYDL FC dan 10 minit pertama saya dengan jersi nombor 10 pertama saya. Perlawanan yang baik, kawan-kawan. Satu mata dan kepada lebih banyak mata lagi. Rawr Lions!” katanya di Instagram.
Di ruangan komen, ramai mengucapkan tahniah kepada Intan dan berharap beliau memanfaatkan tempohnya bersama NYDL FC dengan baik.