Pempengaruh terkenal, IShowSpeed mengalami kecederaan teruk selepas melakukan penampilan dalam saingan Royal Rumble WWE.
Pempengaruh berusia 20 tahun itu diminta masuk ke gelanggang sebagai peserta kelapan acara Royal Rumble oleh Ketua Pegawai Kandungan WWE, Triple H.
Speed dipilih sebagai pengganti selepas penggusti, Akira Tozawa tidak dibenarkan bertanding oleh pasukan perubatan akibat kecederaan.
Sebaik masuk ke gelanggang, beliau membantu Bron Breakker menewaskan Otis. Speed turut melakukan keraian ‘Siu’ bagi meraikan kejayaannya itu.
Walau bagaimanapun, beliau hanya bertahan selama seminit di gelanggang. Juara WWE Intercontinental itu kemudiannya mencampak Speed keluar dari gelanggang.
Beliau disambut oleh Otis sebelum penggusti itu mencampakkan beliau ke meja pengulas. Speed kemudiannya dipapah keluar untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Speed kemudiannya bertemu dengan bintang YouTube dan rakan pempengaruh, Logan Paul. Paul menyedari rakannya mengalami kecederaan teruk dan berjalan terhincut-hincut.
Mereka kemudiannya bersalaman sebelum Paul meneruskan persediaan sebagai peserta ke-30. Pempengaruh terkenal itu kemudiannya berjaya bertahan sebagai tiga peserta terbaik sebelum disingkirkan penggusti dan pelakon terkenal, John Cena.
Speed kemudiannya memaklumkan beliau tidak akan menyertai sebarang acara WWE buat masa ini. “Tiada lagi (acara) WWE,” katanya di X.
Ini bukan kali pertama Speed menyertai gelanggang WWE. Pada tahun 2024, beliau turut mengalami kecederaan selepas dicampak ke meja pengulas oleh penggusti terkenal, Randy Orton.
Situasi itu menyebabkan Speed terpaksa meninggalkan stadium dengan memakai pendakap leher.