Isu 7 Pemain Warisan, Ini Jawapan Hamidin
MakanBola
FA Malaysia

Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin memberikan jawapan ringkas berhubung isu tujuh pemain warisan.

Umum mengetahui bahawa keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan bahawa status tujuh pemain warisan Harimau Malaya adalah tidak sah.

Para pemain juga kini menjalani tempoh penggatungan daripada hukuman tersebut sekali gus tidak boleh beraksi dalam mana-mana kejohanan utama.

Pertemuan bersama Hamidin di Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026 menyaksikan beberapa soalan mengenai pembaharuan termasuklah isu tujuh pemain warisan Harimau Malaya menjadi topik yang dibangkitkan oleh waki media.

Menjawab kepada pertanyaan yang diajukan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Tan Sri Hamidin  menyerahkan perkara ini kepada Presiden baharu FAM untuk menjawabnya. 

“Fina, ini soalan yang sama dengan tadi. Saya serahkan kepada Presiden baharu dan juga Ahli Jawatankuasa (Exco) yang bakal dilantik kelak.

“Kongres Pemilihan kita bakal berlangsung pada September ini. Biar dia (Presiden Baharu) jawab kerana dia bertanggungjawab.

Pandangan ini disebabkan beliau hanya merupakan Presiden Kehormat yang berfungsi sebagai penasihat kepada para petugas FAM tatkala badan induk itu tidak memiliki Exco pada masa ini.

“Saya hanya Presiden Kehormat. Hari ini saya hadir kerana Exco FAM sudah tiada. Sepanjang beberapa bulan saya bantu sekretariat FAM dengan panduan nasihat,” tambahnya lagi.

Kongres Pemilihan FAM 2026 dijangka bakal berlangsung pada bulan September untuk memilih barisan kepimpinan baharu badan induk bola sepak Malaysia itu.