Izham Tarmizi Zahir Penghargaan Kepada TMJ

Izham Tarmizi Roslan Sri Pahang FC Izham Tarmizi Zahir Penghargaan Kepada TMJ
Foto: Sri Pahang FC
Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram MakanBola.

Selepas lapan tahun bersama JDT, Izham Tarmizi Roslan kini bersama skuad Sri Pahang. Dan ia diharap dapat menjadi pencetus kebangkitan untuk kelab yang dibimbing Fandi Ahmad itu sebagai pencabar liga musim ini.

Izham merupakan sebahagian daripada kuartet JDT yang menyertai Tok Gajah musim ini. Izham, Azrif Nasrulhaq dan Syazwan Andik menyertai kelab secara pinjaman dengan Fadhli Shas menyertai Sri Pahang menerusi perpindahan percuma.

“Saya memilih jalan ini kerana fikirkan yang terbaik buat diri saya dan keluarga kerana mahu memperbaiki minit permainan yang agak kurang dalam tempoh dua ke tiga tahun ini.

“Saya bukan sahaja mencari kembali rentak terbaik semasa di Sri Pahang tetapi cuba memburu kembali tempat dalam pasukan kebangsaan.

“Namun saya sedar bukan segalanya mudah apabila tiba ke sini dengan jaminan sudah berada dalam kesebelasan utama kerana saya tetap akan berusaha di dalam latihan.

“Sebagai pemain profesional, saya tidak boleh terlalu memikirkan perbezaan antara JDT dan Sri Pahang kerana tujuan saya ke sini adalah mahu mendapat pengalaman baharu dalam karier,” katanya.

Izham, 32, turut berterima kasih kepada pemilik JDT yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana sudi membenarkannya berhijrah ke Sri Pahang secara pinjaman.

“Saya juga mahu beri penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang sudi melepaskan saya selepas berbincang dengan baginda dan berjaya mencapai kata putus dengan pengurusan SPFC.

“Terima kasih kepada kedua-dua pasukan,” tambahnya.