Kelab diwakili pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools, FK Jablonec memperbaiki kedudukan Liga Utama Czech selepas berjaya menewaskan pasukan pelawat, Brno 3-1 di Chance Arena, Jablonec nad Nisou.
Dua jaringan Jan Chramosta dan tandukan cantik Vladimir Jovović selepas menerima hantaran Dion Cools memastikan 3 mata penuh milik tuan rumah.
Dalam perlawanan terbabit, Dion Cools beraksi penuh 90 minit perlawanan dan tampil cemerlang membantu bahagian serangan Jablonec.
Brno cuba bangkit pada babak ke-2 dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi jaringan Jakub Reznicek.
Selang 1 minit kemudian, hantaran cantik Dion Cools dari sebelah kanan disudahkan baik oleh Vladimir Jovović menjadikan kedudukan 2-1 memihak tuan rumah.
Jan Chramosta sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat menerusi jaringan ke-3 pasukannya pada minit ke-67.
Perlawanan berkesudahan Jablonec 3-1 Brno dan kemenangan ini membantu Jablonec naik 5 anak tangga dari kedudukan ke-14 ke kedudukan ke-9 Liga Utama Czech.
Perlawanan ini merupakan perlawanan ke-2 liga buat Dion Cools yang turut beraksi pada perlawanan pertama dalam aksi Piala Czech.
Jablonec bakal bertandang ke Dolicek menentang Pardubice pada Sabtu, 8 Oktober ini untuk minggu perlawanan liga ke-11.