Ramai tidak akan berpuas hati dengan taktik ‘roadbloack’ yang digunakan PDRM terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA semalam. Tetapi itu semua tidak akan terjadi tanpa sumbangan besar bek tengah import mereka, James Okwuosa.
Walaupun secara tidak langsung menyumbang kepada gol ketiga JDT, secara keseluruhannya, bek tengah Nigeria itu beraksi cemerlang mengemudi barisan pertahanan Sang Saka Biru. Malah, Okwuosa juga beberapa kali menguji kecekapan penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias dengan tandukan-tandukan padu.
Atas sebab itulah, jurulatih PDRM, Azzmi Aziz memuji impak yang dibawa Okwuosa ke dalam pasukan. Dan tidak mustahil dalam perlawanan Liga Super seterusnya menentang JDT pada 19 April, kelibat bek tengah bertubuh tegap itu pasti akan ditagih beliau bagi mengekang barisan serangan pelawat.
“Pastinya. Kita baru jumpa dia (Okwuosa) musim ini, bersama (buat) kali pertama, kita dapat lihat kualiti dia sangat baik. Saya fikir semua orang bercakap tentang dia bila bercakap pasal ‘back four’, ‘back five’ kita setiap masa.
“Memang dia mainkan peranan yang baik untuk pasukan kita. Dan saya percaya pemain muda kita seperti Alif (Naquiddin) yang bermain untuk skuad B-23 kebangsaan, cuma hari itu dia cedera. Jadi, dia dapat bangunkan pengetahuan bola sepak dia dengan pemain macam itu sebelah dia kan.
“Jadi, bagus untuk kita sebab bola sepaknya amat baik,” katanya kepada MakanBola dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.