Jawatan Presiden Kehormat FAM Tidak Relevan Menurut AFC
MakanBola
FA Malaysia

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John menyifatkan jawatan Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai tidak relevan.

Pandangan itu disuarakan beliau apabila diminta mengulas pindaan statut untuk memansuhkan jawatan berkenaan. Usul tersebut antara 94 statut yang akan dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa FAM pada 4 Jun ini.

Windsor berpandangan jawatan tersebut tidak lagi relevan kerana jawatan tersebut tidak wujud baik dalam AFC mahupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Selain itu, ia juga dilihat sudah tidak selaras dalam konteks bola sepak moden hari ini yang telah melalui pelbagai perubahan termasuk tadbir urus.

“Sebab benda ini tak dipraktikkan, AFC pun tak ada, FIFA pun tak ada. Kita dalam era profesional bola sepak tidak ada. Maksud saya, susah nak jumpalah mana-mana. Saya pun tak pernah jumpa siapa ada (pegang jawatan itu), mungkin seorang atau dua atas mana-mana sebab.

“Tapi mereka ada Majlis Penasihat, macam Jepun ada Majlis Penasihat.Tak ada kena mengena dengan persatuan. Semua bekas presiden ada dalam satu majlis atau kumpulan. Jadi, anda boleh bertemu dengan mereka semua tetapi bukan seorang.

“Tak perlulah. Dulu adalah, dulu ianya popular. FIFA pun ada, AFC pun ada. Sekarang bola sepak moden bila statut sudah berubah dan sebagainya, pelantikan semua tidak lagi dipraktikkan,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar turut mengesyorkan agar jawatan Presiden Kehormat FAM dimansuhkan.

Syed Yazid melihat jawatan tersebut berpotensi mewujudkan situasi dua nakhoda dalam satu kapal. “Sudah tentu (cadangan peribadi saya ini) akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Exco FAM.

“Saya berpandangan adalah lebih baik jawatan presiden (sahaja) dikekalkan sampai (jawatan) exco dikekalkan. (Mengenai jawatan presiden kehormat) saya risau akan ada dua ketua yang berlainan pendapat (dalam organisasi ini),” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Jawatan Presiden Kehormat FAM kini disandang Tan Sri Haji Hamidin Mohd Amin. Beliau dilantik ke jawatan tersebut selepas Kongres Luar Biasa FAM 2025 meluluskan usul pelantikan mantan presiden badan induk itu.

Hamidin menjadi Presiden Kehormat FAM kedua selepas Almarhum KDYMMP Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

Claim Money Packet TnG