Pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) membuktikan pasukan terbaik Malaysia ketika ini dengan membelasah Bekpes Hot FM 15-2 dalam aksi persahabatan hari ini.
Walaupun perlawanan ini berstatus perlawanan persahabatan, Harimau Selatan menurunkan barisan pemain mantap diketuai bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias dan bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim.
Selain barisan pemain JDT, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim turut beraksi dalam perlawanan sama.
Sementara Bekpes Hot FM pula menurunkan kesebelasan utama yang diumumkan sebelum ini. Penyampai Bekpes Hot, Khairy Jamaluddin menggalas peranan sebagai kapten dan penyerang pasukan.
JDT menunjukkan ketajaman mereka di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan menyumbat lima gol pada babak pertama. Begitupun, gawang tuan rumah bocor menerusi penyanyi, Tomok.
Ini memastikan keputusan 5-1 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Harimau Selatan terus membuktikan mereka berbisa di depan gol dengan menyumbat 10 gol.
Bekpes Hot memastikan gawang JDT bocor lagi bagi memastikan keputusan 15-2.
Harimau Selatan bakal mengakhiri kempen Liga Super dengan turun menentang Penang FC di SSI pada Sabtu ini.