Johor Darul Ta’zim (JDT) telah membuat satu laporan polis terhadap sebuah resort di Permas.
Ini kerana resort tersebut mendakwa kononnya mereka merupakan rakan kongsi kelab berkenaan. Susulan itu, satu laporan polis dibuat pengurusan kelab pada Selasa.
“Kami dimaklumkan bahawa sebuah resort di Permas telah mempromosikan diri mereka sebagai rakan kongsi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Kami ingin menegaskan bahawa JDT tidak pernah menjalinkan sebarang bentuk kerjasama dengan resort tersebut.
“Satu laporan polis telah dibuat semalam manakala JDT juga telah melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru untuk menurunkan sepanduk berkaitan JDT di resort berkenaan sebanyak dua kali,” kata JDT dalam satu kenyataan.
JDT turut memaklumkan bahawa polis telah merakam kenyataan susulan pengurusan kelab itu.
Ini susulan satu laporan terdahulu yang dibuat berhubung penyalahgunaan nama dan jenama JDT oleh sebuah akaun media sosial yang menyamar sebagai kedai dalam talian rasmi JDT.