Skuad Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) III cemas sebelum meraih kemenangan ke atas Kelantan dalam aksi terbaru Piala Presiden 2024.
JDT III perlu meraih kemenangan untuk mengekalkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan A. Sementara Kelantan pula memburu kemenangan untuk keluar dari kedudukan tercorot kumpulan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mendapatkan kelebihan gol.
Malangnya, gawang JDT III dan Kelantan yang masing-masing dikawal Hazeeq Shahir Yusra Mohd Yusri dan Hazriq Hakim Mohd Izham tidak bolos.
Ketumpulan serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan mula meningkatkan tempo permainan untuk mendapatkan gol.
Kelantan mengejutkan JDT III yang dibimbing Gonzalo Sanz Zaballos dengan mendahului pada minit ke-62 menerusi pemain gantian, Muhammad Muhaimin Nor Azri.
Tersentak, JDT III mula meningkatkan asakan untuk mendapatkan gol. Hasilnya, pasukan itu mengikat kedudukan 1-1 menerusi penalti Danish Syamer Tajuddin pada minit ke-75.
Kemenangan skuad muda Harimau Selatan disahkan apabila pasukan itu dianugerahkan satu lagi sepakan penalti pada minit ke-88.
Pemain gantian, Raziq Rahman muncul wira dengan menyempurnakan penalti yang menewaskan Hazeeq Shahir Yusra. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan ini memastikan JDT III dan Kelantan masing-masing kekal sebagai pendahulu dan pasukan tercorot Kumpulan A.