JDT Kidz Zone Bakal Dibuka Di SSI
MakanBola
Johor Southern Tigers

Stadium Sultan Ibrahim (SSI) kini memiliki tarikan terbaru yang bakal dibuka pada 12 September ini iaitu JDT Kidz Zone.

Pengumuman tarikan terbaru SSI ini diumumkan pengurusan Harimau Selatan menerusi satu kenyataan di platform Johor Southern Tigers. JDT Kidz Zone merupakan ruang permainan khas untuk kanak-kanak bermain dalam persekitaran yang selamat, meriah dan mesra keluarga.

Selain itu, ini juga membantu penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang datang bersama keluarga mencipta kenangan tidak dilupakan di ‘Home of the Southern Tigers’.

Kewujudan zon tersebut mencerminkan komitmen kelab dalam mewujudkan destinasi menarik untuk para penyokong daripada semua peringkat usia.

Ini sekali gus menjadikan stadium sebagai lokasi untuk menikmati pengalaman JDT di luar hari perlawanan. Hal ini turut bertepatan dengan SSI antara lokasi pelancongan di Johor untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Turut tersedia di Stadium Sultan Ibrahim ialah pelbagai pilihan makanan dan minuman seperti Woodfire, Starbucks, KFC, Subway, Swedish Bistro (IKEA), Bingxue, Eng’s Popcorn, Inside Scoop, ZUS Coffee dan Jom Cha by Farm Fresh.

Ini ditambah dengan tarikan-tarikan lain seperti JDT Direct Megastore, Stadium Tour, Hummer Tour dan JDT X-Skate. JDT Kidz Zone terletak di aras bawah dan dibuka untuk kanak-kanak sehingga usia 12 tahun.

Pemegang pas bermusim JDT 2026/27 akan menikmati diskaun 50%. JDT Kidz Zone akan dibuka pada jam 11.00 pagi, 12 September ini.

Pengunjung yang datang sekitar hari Isnin hingga Jumaat bakal dikenakan harga RM30 dengan waktu operasi dari 1.00 petang hingga 10.00 malam.

Pengunjung yang hadir pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah pula bakal dikenakan harga RM40. Waktu operasi pula ialah sekitar 11.00 pagi hingga 10.00 malam.