Pakar analisis sukan negara, Dato’ Jamal Nasir memberi bayangan bahawa pertembungan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga Urawa Red Diamonds bakal berlangsung sengit.
Kata beliau, misi JDT untuk menempah tiket ke peringkat suku akhir ACL adalah tidak mustahil dengan barisan pemain yang dibawa ke Jepun.
Seperti yang diketahui umum, daripada senarai 35 orang pemain yang dibawa untuk menggalas cabaran pasukan, lapan pemain import yang bersama pasukan dijangka mampu memberikan saingan sengit buat juara ACL dua kali itu.
Menurut Jamal, impak luar biasa yang dibawa oleh pemain-pemain utama JDT seperti Bergson Da Silva, Fernando Forestieri, Leandro Velazquez dan juga Shane Lowry mampu menjelmakan sesuatu.
“Saya melihat perlawanan Jumaat nanti bakal menjadi satu perlawanan yang adil. Sungguhpun Urawa merupakan salah satu pasukan yang sangat digeruni di Asia, JDT sudah pasti akan mempertaruhkan barisan terkuat mereka.”
Jamal juga melihat kekuatan yang dimiliki oleh anak didik Héctor Pablo Bidoglio hasil gabungan pemain import dan juga anak tempatan mampu menandingi kekuatan Urawa Reds.
“JDT menurunkan lapan pemain import mereka dan dengan itu, JDT mampu menyamai kekuatan Urawa. Perlawanan akan menjadi sangat sengit,” jelasnya kepada Majoriti.
Beliau juga mahu seluruh rakyat Malaysia bersatu hati dan terus memberikan dukungan penuh kepada pasukan Harimau Selatan dalam usaha melakar sejarah di pentas Asia.