Pemain perancang Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Muniz yakin pasukan itu bersedia menghadapi cabaran sukar Terengganu FC di peringkat separuh akhir Unifi Piala Malaysia.
Harimau Selatan bakal berentap dengan Peteh di peringkat separuh akhir selepas menyingkirkan KL City FC secara agregat di peringkat suku akhir.
Meskipun begitu, Terengganu dijangka memberi cabaran sukar kepada JDT. Ini kerana pasukan itu bukan saja masih belum tewas dalam lapan perlawanan semua kejohanan.
Malah, Peteh mendapat suntikan keyakinan apabila membelasah Shan United 5-0 dalam aksi ketiga Kumpulan A Shopee Cup baru-baru ini.
Atas sebab itu, Muniz melihat JDT perlu tampil lebih cemerlang lebih-lebih lagi aksi separuh akhir pertama diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Ini kerana sebarang kelebihan yang diraih di SSMZA amat membantu Harimau Selatan dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
“Kita semua tahu Terengganu FC ada ramai pemain-pemain yang bagus apatah lagi sekarang momentum mereka di tahap yang selesa selepas menang di kejohanan antarabangsa,” katanya.
“Jadi saya percaya perlawanan ini akan lebih sukar berbanding aksi Liga Super dengan kelebihan Terengganu sudah tentu beraksi di tempat mereka sendiri.
“Memang sentiasa sukar beraksi di sana (SSMZA), tetapi kami ingin cuba ambil peluang seawal separuh masa pertama dan kita akan berjuang sehingga ke final.”
JDT semakin berkeyakinan terutama selepas merekodkan 29 kemenangan berturut-turut di SSI. Ini termasuk kemenangan 4-0 ke atas Sabah FC pada 11 Januari lalu.
Rekod tersebut memadamkan rekod 28 kemenangan yang dilakar Harimau Selatan dalam Malaysia Book of Records pada Julai 2019.