Advertisements
JDT ‘Takluk’ Malaysia
Inspirasi
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka adalah kuasa terbesar dalam saingan Liga Malaysia sejak tahun 2014 lagi.

Mana tidaknya, pelbagai kejuaraan berjaya diraih selepas JDT dipimpin dengan jayanya oleh individu bersemangat waja iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam satu muatnaik terkini di laman Instagram, Official Johor, pihak kelab telah menyenaraikan kesemua trofi yang dimenangi JDT sejak tahun 2013.

Biarpun JDT telah mewarnai Liga Malaysia sejak 2013, namun pada tahun tersebut, JDT gagal memenangi sebarang pertandingan yang dipertandingkan di dalam Liga Malaysia termasuk Liga Super.

Anjakan paradigma JDT bermula pada tahun 2014 apabila berjaya menjulang trofi kejuaraan Liga Super buat pertama kalinya dalam sejarah kelab. Trofi itu merupakan trofi pertama buat JDT dan satu-satunya yang dimenangi mereka pada tahun 2014.

JDT terus mempamerkan kemajuan pada tahun 2015 selepas buat pertama kalinya menjadi juara Piala AFC selepas menundukkan kelab gergasi Tajikistan, FC Istiklol dengan keputusan 1-0.

Kemenangan JDT di Piala AFC itu merupakan titik kebangkitan luar biasa buat pasukan Harimau Selatan itu.

Secara keseluruhan, JDT sudah mengumpul 28 trofi hanya dalam tempoh 11 tahun sahaja dan ianya sukar digugat oleh mana-mana kelab di dalam Malaysia buat masa ini.

Trofi terkini yang dimenangi JDT adalah trofi Piala FA selepas JDT menumbangkan musuh ketat, Selangor FC dengan keputusan 6-1 dalam perlawanan akhir bulan lalu.

JDT dijangka akan terus memburu trofi demi trofi demi penyokong mereka yang tidak putus-putus memberikan sokongan buat pasukan.