Berikutan pembatalan aksi Piala Sumbangsih pada Jumaat, JDT menawarkan jalan penyelesaian bagi penyokong yang telah pun membuat pembelian tiket.
Perlawanan Piala Sumbangsih atau Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat walau bagaimanapun terpaksa dibatalkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL).
Hal ini berikutan daripada penarikan diri pasukan Sleangor yang enggan hadir ke Johor bagi meneruskan aksi disebabkan isu keselamatan pemain dan pasukan yang menjadi ancaman kebelakangan ini.
Berita tergempar ini menyebabkan para peminat menjadi tertanya-tanya mengenai pembelian tiket yang sudah pun dibuat sama ada wang akan dikembalikan atau diberi alternatif lain.
JDT menerusi satu hantaran di media sosial rasmi pasukan telah pun menawarkan dua pilihan bagi para penyokong yang telah pun mendapatkan tiket bagi aksi Piala Sumbangsih ini.
Pertama, penonton boleh menggunakan tiket tersebut pada aksi seterusnya di laman sendiri sama ada pada perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 18 Mei atau Sri Pahang pada 22 Jun.
Manakala, pilihan kedua adalah pembayaran balik harga tiket kepada para pembeli namun tidak termasuk bayaran pemprosesan atau caj kad yang telah dikenakan.
“Para penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah membeli tiket untuk perlawanan pembukaan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih yang dibatalkan antara Harimau Selatan dan Selangor FC pada 10 Mei 2024 boleh memilih sama ada mendapatkan pertukaran untuk salah satu daripada dua perlawanan liga di laman kami sendiri yang seterusnya atau bayaran balik,” umum JDT pada petang Khamis.
Disebabkan oleh pembatalan aksi Piala Sumbangsih ini, MFL telah mengesahkan bahawa JDT bakal diberikan kemenangan percuma dengan keputusan 3-0 dan piala berkenaan akan kekal di bumi Johor.