Isu jerebu membayangi aksi final Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini.
BBC Sport melaporkan isu jerebu berlaku akibat kebakaran hutan yang berlaku di Kanada. Hal ini menyebabkan kualiti udara sekitar New York terjejas.
Atas sebab itu, pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah dan hanya keluar jika perlu. Kualiti udara dilaporkan merosot apabila skuad Sepanyol tiba di New Jersey pada malam Rabu lalu.
Anak buah Luis de la Fuente sudah mula menjalani latihan di luar pada Rabu. Meskipun begitu, Sepanyol tidak menyatakan sama ada mereka terganggu dengan isu ini atau tidak.
Kontinjen Argentina pula masih berpangkalan di Georgia selepas aksi separuh akhir menentang England. Mereka dijangka mula berlatih di New Jersey pada Jumaat.
Ramai peminat mengharapkan kualiti udara bertambah baik pada Jumaat. Hujan pula diramal turun pada 18 Julai sekaligus berpotensi membantu menambah baik kualiti udara sekitar New York sebelum aksi final.
Sekiranya isu ini berterusan, ramai penyokong bimbang ini akan memaksa aksi final Piala Dunia ditangguhkan atas sebab kesihatan. Penangguhan itu telah dibuat untuk aksi Major League Soccer (MLS) antara Chicago Fire dan Vancouver Whitecaps.
MLS mengambil langkah menangguhkan perlawanan tersebut susulan kualiti udara yang buruk sekitar Chicago. Penangguhan itu juga menyaksikan Robert Lewandowski terpaksa menunggu untuk membuat penampilan pertama bersama Chicago.