Advertisement
Jersi Paralimpik Malaysia Raih Pujian Menggunung Peminat
UltraSukan
UltraSukan
Paralympic Council Malaysia

Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) telah memperkenalkan pakaian rasmi kontinjen negara ke temasya Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.

Pengumuman ini dibuat badan induk itu menerusi satu hantaran di platform rasmi mereka. Menariknya, pakaian atlet Paralimpik negara kali ini tampak berbeza.

Ini kerana pakaian ini menggunakan warna putih sebagai warna utama. Belang harimau pada pakaian berkenaan nampak menyerlah menggunakan warna biru, kuning, merah dan kelabu.

Ini berbeza dengan pakaian terbaru atlet Olimpik negara yang menggunakan warna hitam dengan belang oren lebih besar dan menonjol.

Ia juga tampak berbeza apabila digayakan oleh atlet Paralimpik kebangsaan. PCM memilih Muhammad Imaan Aiman dan Abdul Razzaq Abdul Rahman sebagai model pakaian berkenaan.

Sebaik saja pengumuman pakaian ini diumumkan, ramai peminat negara teruja. Ini kerana corak dan warna yang digunakan lebih segar dan bertenaga.

Salah seorang daripadanya ialah seorang pengguna Facebook bernama Intan Mimi. Dia menyifatkan pemilihan corak dan warna sebagai tepat.

“Nampak lebih bersemangat! Segar dan bertenaga! Selamat berjaya semua! Jaga diri dan kekal selamat,” katanya di ruang komen PCM.

Turut bersetuju dengan pandangan Intan ialah seorang lagi peminat sukan bernama Alison Wong Tze Yeen. Dia menyifatkan pakaian ini mewakili semangat juang kontinjen Paralimpik negara.

“Suka dengan pakaiannya dan lebih menyukai semangat para atlet kita. Selamat berjaya dan nikmati temasya ini,” ujarnya.

Sukan Paralimpik 2024 bakal berlangsung dari 28 Ogos sehingga 8 September ini.