Susulan maklum balas yang bercampur baur berkenaan pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil langkah menambah baik rekaan yang dinyatakan.
Lantas, MOM telah memperkenalkan rekaan terbaru pakaian rasmi kontinjen Olimpik negara. Menariknya, beregu lelaki utama Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dipilih sebagai model pakaian berkenaan.
Hasil maklum balas semua pemegang taruh termasuk peminat sukan Malaysia, warna latar belakang pakaian itu ditukar daripada warna kuning kepada warna hitam.
Sementara belang harimau berwarna kuning yang lebih besar jelas terpapar pada bahagian depan dan belakang pakaian itu.
Reka bentuk terbaru ini turut mengembalikan semula warna Jalur Gemilang dan lima gelung Olimpik berbanding logo emas MOM sebelum ini.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melihat pemilihan reka bentuk terbaru ini melambangkan semangat kontinjen negara untuk melakar kecemerlangan di Paris, Perancis.
“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.
“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti,” katanya dalam satu kenyataan.
Disebabkan faktor masa, MOM bukan saja mendapat kebenaran penaja rasmi mereka, Yonex untuk tidak memaparkan logo Yonex atau YY pada kedua-dua jaket dan kemeja T.
Malah, Yonex turut memberi kebenaran khas kepada badan induk itu untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Paris 2024 atas faktor yang sama.
Atas sebab itu, MOM amat berterima kasih kepada Yonex kerana sudi menghasilkan pakaian rasmi baru kontinjen Olimpik negara menggunakan fabrik dan corak rekaan berbeza.
Norza mengharapkan dengan keputusan ini, para peminat sukan negara dapat memberi sokongan penuh kepada kontinjen Olimpik Malaysia.
“Dengan keputusan ini, MOM mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada semua anggota Kontinjen Malaysia di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos nanti,” tambahnya.
26 atlet negara bakal menggalas cabaran di Sukan Olimpik 2024. Antara atlet yang bakal menjadi sandaran ialah Lee Zii Jia (badminton) dan Datuk Azizulhasni Awang (basikal trek).