Perak kehilangan dua tonggak penting, Jesper Nyholm dan Luka Milunovic yang meninggalkan pasukan.
Nyholm dan Milunovic masing-masing tiba di Perak pada pertengahan tahun 2023 untuk memperkuatkan benteng pertahanan dan jentera tengah skuad Seladang.
Walau bagaimanapun, jodoh Nyholm dan Milunovic kini tiba di penghujung apabila kontrak mereka bersama Perak tidak disambung dan bakal berakhir pada 31 Disember hadapan.
Oleh itu, aksi Perak berdepan Sri Pahang di Temerloh pada Ahad merupakan perlawanan terakhir buat Nyholm dan juga Milunovic bersama skuad Seladang sebelum kedua-duanya dilepaskan.
Menurut Nyholm, memori selama satu tahun bersama Perak menjadi kenangan manis dalam perjalanan karier meskipun terlepas peluang untuk mengulangi pencapaian ke separuh akhir seperti musim lalu.
”Ini adalah aksi terakhir saya bersama Perak FC dan menjadi tahun yang menarik dalam perjalanan, tahun lalu kita layak (ke separuh akhir) tetapi tahun ini kita hampir,” kata Nyholm selepas aksi menentang Sri Pahang.
Nyholm sempat mengucapkan terima kasih dan rasa cinta kepada penyokong dan rakan sepasukan dan teruja untuk melihat apa akan berlaku selepas ini buat Perak dan juga diri beliau.
”Saya sayangkan kesemua pemain, kami berjuang bersama tanpa mengira susah dan senang, terima kasih kepada para penyokong dan mari kita kihat apa akan berlaku di masa depan.”
Dalam satu hantaran juga, Milunovic juga sempat meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat membantu Perak mara lebih jauh namun berterima kasih kerana memberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada The Bos Gaurus.
”Sedikit sedih kita tak berjaya layak (ke separuh akhir Piala Malaysia), tetapi saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada pasukan Perak,” kata Milumovic dalam satu kiriman video di Facebook Perak FC.
”Saya dapat merasakan sokongan anda semua, saya telah berikan yang terbaik tetapi kadang-kala keputusan tidak memihak kita, saya ucapkan selamat maju jaya buat Perak.”
Sepanjang menyarung jersi Perak, Nyholm telah mencatat 29 penampilan sementara Milunovic pula beraksi sebanyak 28 perlawanan dan menjaringkan 7 gol dan mencipta 5 bantuan jaringan.
Nyholm dan juga Milunovic bakal mengikuti jejak langkah bekas pemain sayap muda dari Korea Selatan, Lee Tae-min yang turut meninggalkan Perak pada awal Disember yang lalu.
Perak kini bakal meneruskan saingan Liga Malaysia dengan hanya 5 pemain import iaitu Luiz Motta, Sunday Afolabi, Luciano Guaycochea, Adilet Kanybekov dan juga Clayton.