Sri Pahang mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-3 mengatasi Perak walaupun mencatatkan keputusan seri bagi aksi suku akhir kedua.
Sri Pahang terikat 3-3 dengan Perak di Stadium Temerloh dalam aksi berbalas jaringan antara kedua-dua pasukan.
Fandi Ahmad mempertaruhkan barisan pemain hebat seperti Adam Nor Azlin, Azrif Nasrulhaq, Syazwan Andik, Manuel Hidalgo, Sean Selvaraj serta Kpah Sherman selaku kapten pasukan.
Perak pula turun dengan barisan pemain seperti Haziq Nadzli, Tommy Mawat, Shivan Pillay, Wan Zack Haikal serta Clayton Da Silva.
Manuel Hidalgo membuka tirai jaringan buat Sri Pahang seawal minit ke-5 perlawanan namun Perak pantas menyamakan kedudukan 4 minit kemudian menerusi jaringan Wan Zack Haikal.
Hidalgo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-30 untuk kembali meletakkan Sri Pahang dihadapan Perak.
Jesper Nyholm menghidupkan kembali peluang Perak untuk bersaing apabila meledak gol kedua pada minit ke-42.
Hidalgo terus membuktikan ketajamannya dihadapan gol apabila sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti untuk memberikan Sri Pahang gol ketiga.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan Sri Pahang mendahului Perak 3-2 hasil hatrik daripada Manuel Hidalgo.
Bersambung babak kedua, Daniel Hakimi menyamakan kedudukan buat Perak apabila menjaringkan gol ketiga Perak pada minit ke-54 perlawanan.
Keputusan 3-3 antara Sri Pahang dan Perak kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Sri Pahang layak ke saingan separuh akhir dengan agregat 4-3.
Sri Pahang seterusnya akan bertemu Negeri Sembilan pada 10 Januari kelak manakala Perak akan menentang Penang pada 12 Januari bagi aksi Liga Super Malaysia.