Ramai peminat bola sepak negara melihat Datuk Joehari Mohd Ayub bakal menjadi pengganti Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ini selepas Jawatankuasa Pemilihan FAM mendedahkan jawatan dan bilangan calon yang bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2025-2029.
Daripada 29 calon yang bertanding, hanya Joehari saja yang bertanding merebut jawatan Presiden FAM.
Ini menjadikan beliau calon tunggal untuk merebut jawatan tersebut. Ini membuka laluan buat dirinya memenangi jawatan Presiden FAM tanpa bertanding.
Situasi sama turut terpakai kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden FAM. Ini kerana Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram merupakan calon untuk dua posisi berkenaan.
Kedua-dua figura berpengalaman itu dijangka mempertahankan jawatan mereka tanpa bertanding.
Jawatan Naib Presiden FAM bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru. Lima calon merebut jawatan tersebut ialah Dato’ Dollah Salleh, Datuk Seri Hj. Rosmadi Ismail, Saaran A/l Nadarajah, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Syed Yazid Syed Omar.
18 calon lelaki termasuk legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Hishamuddin Abdul Karim pula merebut jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM.
Lima calon wanita termasuk penyandang, Datuk Suraya Yaacob pula bertanding merebut kuota dua ahli wanita Jawatankuasa Eksekutif FAM.
Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2025-2029 bakal diadakan dalam Kongres FAM Ke-61 di Subang Jaya, Selangor pada 15 Februari ini.