“Johan Ghazali Ada Mentaliti Jadi Juara Masa Hadapan” – Superbon
UltraSukan
Johan Ghazali

Legenda Muay Thai terkenal, Superbon percaya jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali mampu bergelar juara dunia pada masa hadapan.

Pandangan itu dibuat beliau selepas aksi terbaru ONE Championship membabitkan Johan di Stadium Luminee, Bangkok baru-baru ini.

Johan yang mesra disapa Jojo terpaksa akur dengan kehebatan lawannya, Diego Paez dalam aksi One Championship: ONE Fight Night 32 kategori flyweight.

Kekalahan itu menyaksikan jaguh berusia 18 tahun itu merekodkan enam kemenangan daripada sembilan pertarungan yang disertainya setakat ini.

Superbon atau nama penuhnya Superbon Singha Mawynn percaya jika diberi ruang dan masa, Johan mampu bangkit dan kembali cemerlang dalam gelanggang.

“Bagi saya, Jojo memiliki mentaliti yang bagus sebagai jaguh (Muay Thai) profesional. Saya boleh melihat beliau menjadi juara pada masa akan datang.

“Saya tahu ramai jaguh pada usia mudanya belum matang. Kadang-kadang mereka tidak fokus kepada latihan.

“Tapi Jojo berbeza, sentiasa berlatih di gimnasium, sentiasa bekerja keras dan mengikuti program latihan. Beliau tidak bermain-main dan sentiasa berada dalam gelanggang.

“Jadi, beliau memiliki mentaliti bergelar juara. Jadi, dalam tempoh beberapa tahun, beliau akan bergelar juara,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.

Selepas tewas kepada Paez, Johan berazam untuk bangkit semula dan kembali memburu kemenangan.