Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali berhasrat memburu kemenangan bila berdepan rakan dan jaguh Lubnan, Ramadan Ondash dalam aksi ONE Championship seterusnya pada penghujung Julai ini.
Ini kerana pada hemat jaguh kelahiran Sarawak itu, inilah peluang buat jaguh seperti beliau mengharumkan nama Malaysia dalam saingan berkenaan.
Keazaman Johan turut dibantu dengan kejayaan rakan senegara, Aliff Rakib muncul juara dunia ONE Championship pada 24 Julai lalu.
“Pertama sekali, saya nak ucapkan tahniah kepada Aliff. Aliff buktikan (dengan bergelar juara dunia), Malaysia Boleh.
“Dan minggu depan, saya akan buktikan sekali lagi bahawa Malaysia berhak berada di tahap tertinggi sukan Muay Thai,” katanya kepada ONE Championship.
Jaguh berusia 19 tahun itu turut menegaskan beliau tidak akan gentar dengan cabaran rakannya itu. Sebaliknya, Johan mahu memastikan kecemerlangan Malaysia dalam ONE Championship diteruskan dengan kemenangan dalam aksi pada 31 Julai ini.
Johan berpeluang menambah rekod kemenangan jaguh Malaysia ke atas Ramadan. Ini kerana jaguh Lubnan itu pernah tumbang di tangan Aliff dalam aksi ONE Championship sebelumnya.