Johan Ghazali: Tahniah, Alif Buktikan Malaysia Boleh
UltraSukan
Johan Ghazali

Petarung Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali bangga melihat kejayaan hebat diraih oleh Alif Rakib pada Jumaat.

Aliff Rakib mencipta sejarah hebat negara apabila muncul juara dunia ONE Championship selepas menumpaskan petarung Thailand, Petsansuk Sam-A Gaiyanghadao di Bangkok, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas Muay Thai antarabangsa.

Melihat kejayaan tersebut, Johan atau lebih mesra disapa Jojo menyifatkan kejayaan Aliff itu adalah bukti bahawa atlet negara memiliki kemampuan untuk bersaing dengan jaguh dunia dan Malaysia sememangnya mempunyai tempat dalam arena Muay Thai.

“Pertama sekali, saya nak ucapkan tahniah buat Aliff (Rakib), dia buktikan bahawa Malaysia boleh dan minggu depan, saya akan buktikan sekali lagi Malaysia ada tempat tertinggi di pentas Muay Thai,” ujar Jojo menerusi satu klip yang disiarkan oleh ONE Championship.

Ucapan dan kata-kata penuh semangat daripada Jojo itu hadir menjelang pertarungan penting atlet berusia 20 tahun itu yang bakal berdepan jaguh Lubnan, Ramadan Ondash dalam saingan ONE Championship pada minggu hadapan.

Pertembungan menentang Ondash pastinya menjadi peluang buat Jojo untuk meneruskan momentum positif selain membuktikan kenyataannya bahawa Malaysia mampu berada di kedudukan tertinggi dalam sukan tempur dunia.

Sebagai antara figura utama Muay Thai Malaysia, Jojo kini membawa misi untuk mengibarkan Jalur Gemilang sekali lagi selepas Aliff terlebih dahulu membuka jalan menerusi kejayaan membanggakan di pentas ONE Championship.

Dengan semangat yang sama seperti Aliff, Johan Ghazali pastinya ingin membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar mampu melahirkan bakat hebat, malah mampu bersaing dan mencipta kejayaan bersama barisan jaguh terbaik dunia.